Rendah diri Sultan Muhammad V buat rakyat teruja



KOTA BHARU - Ketinggian peribadi, kerendahan diri; demikian sifat mulia yang terdapat pada diri Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Seri Paduka yang tidak terlalu berprotokol amat menguja dan menyentuh hati rakyat jelata, terutama mereka yang berpengalaman berurusan dengan baginda.

Sifat baginda itu terpancar pada peristiwa kunjungan baginda ke sebuah restoran di Kota Bharu, satu ketika dahulu.

Baginda, ketika itu Tengku Mahkota Kelantan, keluar untuk menjamu selera di Restoran Four Seasons.

Tetapi diberitahu oleh pengusaha, restoran penuh hingga tidak dapat menunaikan permintaan baginda.

Tanpa banyak bicara, baginda pun berlalu dari situ.

Namun, anda boleh bayangkan betapa kesalnya pemilik restoran Chan Khek Jun yang tidak dapat melayani seorang VVIP!

Mengimbau kembali peristiwa itu, Khek Jun berkata kegagalannya menyediakan meja makan untuk baginda, menjadi kenangan yang paling dikesalkannya sejak restorannya mula beroperasi pada 1998.

Malah, kata Khek Jun, baginda pula yang memohon maaf kepadanya yang berasa serba salah kerana berkunjung ke restorannya ketika dipenuhi pelanggan tanpa membuat tempahan awal.

"Pada hari itu, restoran ini menerima pelanggan yang terlalu ramai sehingga bilik VVIP turut digunakan.

"Selepas mendapat tahu restoran penuh, baginda terus berlalu dan meminta maaf kepada saya kerana tidak membuat tempahan awal," kata Khek Jun ketika ditemui Bernama di restorannya.

Khek Jun berkata, baginda mengunjungi restorannya sekitar tahun 2000 ketika masih bergelar Tengku Mahkota Kelantan - tanpa protokol, tanpa membuat tempahan awal, dan tanpa menitahkan sebarang meja khusus.

"Selalunya baginda akan datang usai solat Isyak bersama Tengku Bendahara Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra (kini pemangku Raja Kelantan), kerabat serta beberapa rakan baginda," katanya.

Khek Jun berkata, baginda biasanya berpakaian jubah putih setiap kali ke restorannya, dan akan bertanya khabar serta bersalaman dengan pelanggan lain di restoran itu.

"Baginda tidak menitah menyediakan pinggan atau sudu dan garpu khusus, dan hanya menggunakan apa sahaja yang ada di restoran ini," katanya.

Mengenai masakan kegemarannya di restoran itu, Khek Jun berkata baginda gemar masakan yang kurang berminyak, masin dan pedas.

"Justeru, kami akan menggunakan minyak zaitun, mengurangkan garam dan lada dalam setiap makanan dipesan baginda," katanya.

Chan berkata, makanan kegemaran baginda ialah pelbagai jenis ikan seperti kod, kerapu dan siakap yang dimasak stim kicap.

Hidangan lain digemari baginda ialah burung unta masak lada hitam, rusa 'sizzling', udang dimasak dengan susu segar, mantou (bun mini), penkek tiram, dan sayur bayam telur masin.

Air halia merupakan minuman kegemaran baginda.

Sementara itu, pekerja Restoran Four Season, Nur Emiezza Mohd Noor, 29, berkata, pengalaman menjadi pelayan Sultan Muhammad V akan terus segar dalam ingatannya sepanjang 11 tahun berkhidmat di restoran itu.

Nur Emiezza berkata, setiap kali baginda hadir untuk bersantap, beliau akan diamanahkan oleh Khek Jun untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

"Pada mulanya rasa gementar, namun keperibadian tinggi Sultan Muhammad V, yang sentiasa merendah diri membuatkan saya tidak lagi kekok," katanya.

Sultan Muhammad V dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan pada 12 Disember tahun lepas.

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara pada 24 April depan. - Bernama

Comments