Perkukuhkan Kurikulum Pendidikan, Bukan Hapuskan Sistem Tiga Aliran



KUALA KANGSAR: Sistem tiga aliran sekolah menengah tidak wajar dihapuskan sebaliknya kurikulum pendidikan untuk memantapkan integrasi nasional perlu dirangka secara teliti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem pendidikan sedia ada seharusnya diperkukuhkan untuk melahirkan nilai integrasi nasional tanpa mengetepikan Dasar Pelajaran Kebangsaan.

“Jangan salah tafsir bahawa sistem tiga aliran dihapuskan sebaliknya kita kena memperkukuhkan sistem itu, di peringkat sekolah rendah.

“Tetapi di peringkat sekolah menengah kurikulum yang baru untuk mewujudkan bangsa Malaysia hendaklah dilihat dengan lebih teliti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ekspresi Negaraku: Simbol Cinta Rakyat Pada Negara di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar pada pagi Sabtu.

Beliau berkata, semua pihak terlibat harus mencari jalan untuk menyatukan pendidikan agar perpaduan nasional di kalangan rakyat dapat dipupuk dengan lebih baik.

“Saya tidak menyarankan penghapusan sekolah pelbagai aliran dan Dasar Pelajaran Kebangsaan sebenarnya menyebutkan bahawa bahasa-bahasa ibunda harus digalakkan pengajarannya,” ujarnya.

Comments