Ketua Setiausaha Negara Arah Elak Pembaziran Jamuan

KSN arah elak pembaziran jamuan
RABU, 5 APRIL 2017 - 4:55PM

Oleh Noor Atiqah Sulaiman
bhnews@bh.com.my



TAN Sri Dr Ali Hamsa semasa sidang media selepas majlis Perasmian Kempen MYSaveFood untuk Penjawat Awam di Dewan Taklimat Jabatan Perdana Menteri. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor


PUTRAJAYA: Semua jamuan yang diadakan di bawah jabatan atau kementerian diminta mengurangkan jumlah makanan bagi mengelakkan pembaziran makanan daripada terus berlaku.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata buat permulaan pihak kementerian boleh menukar menu berbentuk bufet kepada hidangan nasi campur yang sudah siap dibungkus.

Katanya, ini sejajar dengan kempen MYSaveFood yang dilancarkan khusus buat kakitangan awam dan keluarga mereka.

"Dalam kapasiti yang besar, penjawat awam mungkin boleh lakukan kempen ini di jabatan masing-masing kerana saya maklum kebanyakan makanan yang dihidangkan di satu-satu majlis itu tidak disentuh.

"Terutamanya hidangan makanan pada waktu pagi, ia tidak disentuh dan kemudian membazir, sekiranya boleh hindar, selepas mesyuarat pada makan tengah hari hanya perlu dihidangkan air mineral sahaja.

"Saya meminta supaya semua ketua-ketua setiausaha dalam perkhidmatan dapat memberi kerjasama yang penuh terhadap inisiatif ini, yang dilihat bukan sahaja dapat memupuk sikap menjimatkan makanan dalam kalangan kakitangan kerajaan tetapi juga kepada keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen MYSaveFood untuk Penjawat Awam, di Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman, serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar.

Ali berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk mengeluarkan pekeliling berhubung langkah penjimatan makanan pada peringkat kerajaan tetapi mahu usaha itu dijalankan menerusi kempen kesedaran.

"Zaman mengeluarkan arahan atau pekeliling sudah berlalu, kita mahu kesedaran berhubung pembaziran makanan timbul daripada sikap penjawat awam sendiri.

"Saya yakin dengan kempen MYSaveFood yang dilaksanakan ini dapat membantu Malaysia mencapai matlamat Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengurangkan separuh pembaziran makanan menjelang 2030," katanya.

Dalam ucapannya, Ali berkata Malaysia kini berhadapan dengan masalah pembaziran makanan yang sangat ketara iaitu sebanyak 3,000 tan metrik makanan yang masih boleh dimakan dibuang setiap hari.

"Sisa ini boleh menyediakan makanan sebanyak tiga kali sehari yang boleh beri manfaat kepada 2 juta orang. Jika diterjemahkan kepada jumlah perbelanjaan, sebanyak RM6 juta dibazirkan setiap hari," katanya.

Comments