Apa yang tidak kena?
Belajar la rajin mengucap penghargaan kepada orang bawahan
Nor Hartini binti Saari
Pegawai Penyelidik
Islam telah menghubungkan majikan dan pekerja dengan ikatan persaudaraan dan persahabatan. Justeru, adalah menjadi kewajipan setiap majikan dan pekerjanya menjaga dan memelihara hubungan antara mereka dalam organisasi tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Lantaran itu, dalam menjaga hubungan kedua-duanya Islam menggalakkan supaya individu dalam organisasi itu mempunyai sikap bantu-membantu. Namun persoalannya, sejauhmanakah amalan bantu-membantu atau sikap saling tolong-menolong di dalam organisasi ditekankan? Sebenarnya tanpa kewujudan semangat kerjasama ini sesebuah organisasi tidak akan dapat beroperasi dengan sempurna.
Namun begitu, jika wujud kesedaran dalam diri setiap anggota organisasi, maka apa yang dapat dilihat perjalanan organisasi itu akan lebih lancar dan tersusun. Dan di sinilah semua pekerja perlu sedar bahawa peranan tugas yang berat perlu dipikul bersama. Seperti kata pepatah "Berat sama dipikul ringan sama dijinjing".
Begitulah juga hasilnya hendaklah dikecapi bersama. Walau bagaimanapun tidak wajar kiranya beberapa orang pekerja yang membuat sesuatu pekerjaan itu, tetapi yang mendapat nama atau pengikhtirafan daripada majikan hanya seorang sahaja. Jikalau boleh semua pekerja yang terlibat perlu mendapat pengihktirafan bersama dalam meningkatkan lagi motivasi diri pekerja.
Begitu juga dalam organisasi dalam memajukan diri dan menjaga hubungan baik antara individu di dalamnya, setiap ahlinya perlu kepada melaksanakan tugas dengan ikhlas dan jujur. Ini kerana dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan setiap pekerja perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh (itqan). Melaksanakan kerja bukanlah sekadar menyudahkan kerja sekadar melepas batuk di tangga; atau membuat kerja lepas tangan sahaja, tetapi kerja itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan menggunakan segala kebolehan yang ada.
Kesungguhan dan semangat kerja keras ini bukan semata-mata hanya sekadar ‘berlakon’ ketika berhadapan dengan ketua tetapi perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh walaupun tiada pemantauan daripada ketua atau majikan.
Dalam Islam konsep ini dinamakan ihsan; konsep ihsan menjelaskan bahawa setiap kerja yang dilakukan atas dasar tanggungjawab walaupun tiada pengawasan yang ketat. Konsep ini juga ada digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya sepertimana kita beribadat kepada Allah SWT, sebagaimana jika kita tidak dapat melihat-Nya sesungguhnya Allah melihat kita.
Begitulah konsep ihsan yang perlu ditanam dalam jiwa pekerja. Konsep ini perlu dilakukan dan dilaksanakan dengan kesedaran yang mendalam bahawa kita sentiasa diperhatikan dan tidak ada sesuatu pun yang boleh disembunyikan. Penghayatan konsep ihsan oleh setiap ahli atau staf akan dapat memastikan hubungan antara mereka berjalan dengan baik tanpa wujud perasan dengki atau khianat antara satu sama lain.
Selain itu, unsur saling hormat-menghormati antara majikan dan pekerja serta pekerja sesama pekerja mampu menjaga hubungan baik antara mereka. Sikap ini apabila diterapkan dalam organisasi mampu mewujudkan hubungan sosial yang baik dan dapat memastikan setiap kegiatan organisasi berjalan lancar.
Sebagai contoh, jika majikan menghormati dan mengenali pekerja dengan lebih dekat, tentulah persefahaman antara mereka dapat ditingkatkan. Sikap hormat-menghormati yang tinggi menjadi sumber keselesaan baik dari segi persefahaman dan keseronokan bekerja antara majikan dan pekerja dalam menjalankan tugas. Persefahaman yang wujud antara pekerja ini akan dapat membantu sekiranya kerja itu memerlukan penglibatan secara berkumpulan.
Sebaliknya, jika majikan tidak menghormati hak pekerja di bawah seliaannya maka operasi organisasi akan terjejas akibat perasaan tidak puas hati dan perasaan tidak menghormati majikan mula timbul di kalangan pekerja.
Di samping itu, kebebasan hak bersuara juga dilihat mampu untuk memelihara hubungan yang baik antara majikan dan pekerja. Apabila hak bersuara diberikan kepada pekerja kesannya, mereka lebih berfikiran terbuka untuk menerima pandangan, kritikan dan idea-idea baharu yang disampaikan terutama dalam menyelesaikan pelbagai masalah demi kebaikan organisasi. Mereka tidak rasa diperlekehkan walaupun tidak semua idea atau pandangan yang dikemukakan diterima.
Budaya berbincang, berunding, memberi nasihat dan berterus-terang perlu ada bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Oleh itu perbincangan secara terbuka dan berhemah adalah penting untuk mengatasi sebarang kesulitan.
Budaya inilah yang diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW menerusi amalan syura atau musyawarah. Pada ketika itu Rasulullah dapat menerima pandangan para sahabatnya sedangkan baginda adalah merupakan penghulu kepada rasul, nabi yang disanjung oleh umat manusia, namun mengapa hari ini masih terdapat majikan yang masih lagi bersikap terlalu ego dan sombong untuk sekurang-kurangnya mendengar pandangan orang lain mahupun para pekerjanya?
Di sini menunjukkan kepada kita bahawa jawatan dan kedudukan yang dipegang setinggi mana pun ia, tidak boleh menjadikan individu tersebut kebal dengan sebarang teguran mahupun pandangan. Lebih-lebih lagi kita adalah manusia yang tidak maksum.
Dalam organisasi kita memerlukan bantuan daripada sahabat-sahabat lain untuk menampung segala kekurangan. Jikalau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, maka adalah lebih baik menggunakan bangkangan yang paling lembut dan berhikmah. Jika tersalah membangkang barangkali kerengganan antara individu akan timbul. Apa yang penting segala pandangan itu jangan diperkecilkan dan meremehkan pandangan orang lain disebabkan kedudukannya yang lebih rendah.
Secara ringkasnya, memelihara hubungan baik antara majikan dan pekerja dalam organisasi pastinya memberi natijah yang cukup besar dalam pengembangan organisasi untuk terus mencapai produktivitinya yang lebih baik di samping dapat menyumbang kepada suasana yang cukup harmoni, aman dan penuh ukhuwah dalam organisasi berkaitan.
Comments
Post a Comment