Angsa Indang sedang memotong kepala buaya yang telah membunuh anak lelaki kesayangannya pada 24 Disember tahun lalu.
SUAI, 23 Januari– Seorang ayah terpaksa mengambil masa sebulan untuk membalas dendam terhadap seekor buaya yang membaham anak lelakinya, selepas beliau berjaya menangkap sendiri buaya tersebut dengan dibantu oleh dua orang pawang buaya, di Sungai Suai di sini, kira-kira sejam setengah perjalanan dari bandar raya Miri.
Angsa Indang, 40, dari Rumah Sulang di Suai, dekat sini, berjaya menangkap buaya tersebut dengan menggunakan mata kail berumpankan daging babi, yang dipasangnya di Sungai Suai, berdekatan dengan rumah panjang mereka di sini.
Pancing tersebut mulai dipasangnya di situ sejak petang Selasa lalu dan pagi tadi beliau telah pergi ke sana semula bagi memeriksanya bersama kedua-dua pawang buaya terbabit.
Sebaik tiba di tempat tersebut yang terletak dua kilometer dari rumah panjangnya, pada jam 8 pagi tadi, alangkah gembiranya Angsa apabila mendapati umpannya mengena.
Buaya pembunuh itu berjaya dipancing oleh beliau menggunakan umpan daging babi, sambil dibantu oleh kedua-dua pawang buaya.
Buaya tersebut yang masih hidup, kemudian diikat kemas dan dibawa ke rumah panjang mereka dan dipertontonkan kepada orang ramai, sebelum Angsa sendiri membunuh buaya tersebut menggunakan sebilah lembing dan kemudian memotong kepala buaya terbabit menggunakan parang dan kapak.
Selain ratusan penduduk dari Rumah Sulang dan rumah-rumah panjang serta perkampungan berhampiran yang datang menyaksikan buaya tersebut, turut hadir ialah kakitangan daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) dari Miri, yang dimaklumkan oleh mereka.
Buaya terbabit telah dikenal pasti sebagai buaya yang telah membunuh anak lelaki Angsa Indang pada tahun lalu berdasarkan kepada luka di badannya serta sebelah mata yang telah buta.
Anak lelakinya, Jerry Apat, 11, telah mati dibaham buaya ketika mandi bersama rakan-rakannya di jeti rumah panjang mereka, ketika kejadian pada 24 Disember 2013. Mayatnya kemudian ditemui kira-kira 4 kilometer dari tempat kejadian.
Sejak itu Angsa telah memburu reptilia tersebut namun tidak berhasil sehinggalah semalam di mana ia akhirnya dapat membalas dendam terhadap buaya yang membunuh anaknya.
Comments
Post a Comment