‘Saya sokong TMJ, FAM’
Oleh Shamsul Munir Safini
Kangar: “Saya sokong tindakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang bukan saja berani, malah menunjukkan keprihatinan terhadap pemain.
“Malah saya juga menyokong FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang membenarkan enam laras senapang dibawa masuk ke stadium (Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan), minggu lalu,” kata Datuk Seri Shahidan Kassim, semalam.
Shahidan berkata, bukan itu saja, sepatutnya Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sepatutnya membawa 600 laras senapang berikutan bilangan penonton yang hadir ke stadium itu.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis berkata, jumlah senjata dibawa itu sebenarnya kecil berbanding kehadiran penonton pada perlawanan itu.
“Saya sokong tindakan TMJ kerana beliau berani berbuat demikian, demi pemain dan penyokongnya, malah ia juga dibenarkan FAM.
“Harapan saya, FAM tidak mengambil tindakan ke atas kenyataan saya ini kerana menyokong tindakan yang mereka lakukan,” katanya. Menurutnya, beliau juga berharap Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tidak risau dengan apa berlaku kerana ia hanya enam pucuk senapang yang dibawa ketika perlawanan itu.
“Apa yang kita akan lakukan jika pemain dibaling botol oleh penyokong lawan? Pasti kita marah dan TMJ hanya melakukan apa yang patut, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Johor.
“Penonton yang hadir juga melebihi 30 ribu, KAFA tidak perlu risau kerana ia hanya enam laras senapang,” katanya mengenai tindakan PBNJ membawa tentera lengkap bersenjata daripada Rejimen Ke-21 Gerup Gerak Khas (GGK) dari Kem Iskandar Mersing, Johor ke perlawanan itu.
Comments
Post a Comment